Tekanan darah merupakan tekanan yang dikenakan kepada pembuluh darah semasa darah mengalir ke seluruh anggota badan akibat daripada proses pengepaman yang dijalankan oleh jantung. Ianya diukur menggunakan sukatan mmHg (milimeter merkuri) dan terbahagi kepada dua bacaan iaitu bacaan atas dan bawah yang dipanggil tekanan Sistolik dan Diastolik. Tekanan Sistolik atau bacaan Atas menunjukkan tekanan ke atas pembuluh darah semasa denyutan oleh jantung sementara Tekanan Diastolik pula menunjukkan kadar tekanan semasa jantung berehat diantara setiap denyutan tersebut berlaku.
Kebiasaannya kadar tekanan darah dibahagikan kepada 4 fasa iaitu fasa rendah (hipotensi), normal, pra-hipertensi dan hipertensi. Tekanan darah berada pada kadar rendah apabila bacaan sistolik dan diastolik berada kurang daripada paras 90/60 mmHg. Kadar rendah ini dikatakan bahawa ianya tidak boleh berada dibawah daripada paras 50 bacaan sistoliknya kerana dikhuatiri akan menyebabkan serangan jantung akibat daripada kekurangan aliran darah di koroner jantung.
Kadar tekanan darah yang normal bagi setiap manusia berada pada kadar 120/80 mmHg. Fasa pra-hipertensi berlaku sekiranya tekanan darah melebihi 120/80 mmHg hingga mencapai paras 139/89 mmHg. Pada tahap ini, mereka yang diklasifikasikan sebagai menghidap tekanan darah pra-hipertensi selalunya dinasihatkan untuk mengubah cara hidup sedia ada kepada cara hidup yang lebih sihat. Pesakit pra-hipertensi juga berkemungkinan perlu mengambil ubat untuk menurunkan kadar tekanan darah sedia ada kepada paras yang lebih rendah.
Tekanan darah tinggi atau hipertensi terjadi bilamana paras tekanan darah melebihi 140/90mmHg. Sepertimana pra-hipertensi, pesakit darah tinggi juga disarankan untuk mengubah gaya hidup dan perlu mengambil ubat oleh doktor. Pengambilan ubat untuk menurunkan tekanan darah adalah perlu pada ketika hipertensi walaupun ianya belum dapat menyembuhkan penyakit ini secara keseluruhannya.
Walaupun penyakit darah tinggi dikatakan semakin meningkat saban tahun, pengesanan dan perawatan awal adalah perlu supaya ianya dapat dikawal sebelum menjadi parah. Gaya hidup yang lebih sihat adalah penting supaya penyakit seperti darah tinggi ini dapat dihindari daripada menjadi pembunuh utama di negara kita.
Friday, May 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment